SILAT SENDENG MALAYSIA


Silat Sendeng Malaysia

Seni Silat Sendeng Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Seni Silat Sendeng Muar telah diasaskan oleh Allahyarham Haji Abd Hamid bin Haji Hamzah di Sungai Mati, Muar, Johor. Beliau telah mewarisi pembelajaran Seni Silat Sendeng ini dari ninda-ninda beliau serta guru-gurunya yang lain yang terkenal dengan kehebatan ilmu kependekaran dan persilatan serta kerohanian mereka sejak awal abad ke-20 yang silam.

Perguruan ini merangkumi persilatan dari 3 aliran yang terkenal dizaman silam iaitu Kuntau Telok Mas, Pukulan Sendeng dan Pukulan Sendeng 7 Hari. Ketiga-tiga jenis aliran persilatan ini diajar secara berperingkat yang dinamakan Kuntau 3 bulan, Sendeng dan Sendeng 7 Hari. Setiap satu diperturunkan sama seperti aliran persilatan yang asal tanpa mengubah atau mencampur aduk permainan.

Bagi Kuntau 3 Bulan pelajarannya terdiri dari tari dan langkah silat Melayu yang asli seperti lela sembah, lompat tiong , lebah mengurap, lipat pandan dll, permainan senjata seperti keris, tumbuk lada , tekpi ,pedang , pedang–perisai dan tembong. Juga terdapat belebat kuntau , pecah(kata) ,pernafasan lean dan pukul selain dari tangkapan dan kuncian.

Dalam permainan Sendeng terdapat belebat, langkah dan pukul termasuk cara menyerang tangan kosong dan sparing. Permainan Sendeng 7 Hari lebih menumpukan kepada membaca gerak dan melapis pukul sendeng serta mengenali sasaran lemah pada lawan. Dalam peringkat ini cara bertahan atau menyerang tidak bergantung kepada lawan.

Pada 13hb Julai 2009 bertempat di Ledang, Johor, perguruan silat ini telah diistyharkan oleh YAB Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor, sebagai silat rasmi negeri Johor.

 

Pengertian Seni Silat Sendeng

Nama Seni Silat Sendeng yang diabadikan oleh Allahyarham Guru Utama Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah pada perguruan ini, mengandungi erti dan falsafahnya tersendiri.

Di tinjau pengertiannya sepintas lalu menurut ungkapan tersebut ialah : –

SENI – adalah kehalusan atau kelembutan gerak atau langkah yang tersusun ketika menggayakan atau melakukan sesuatu pergerakan jasmani.

SILAT – ialah ketangkasan pergerakan jasmani ketika mempertahankan atau menyerang sama ada bermain secara tangan kosong atau bersenjata.

SENDENG – merupakan adunan teknik pukulan dan taktik mengelak atau menyerang berposisi mengiring. Mendalami pengertian SENDENG yang menjadi teras perguruan ini, ia mencakupi ertikata yang amat luas baik dari segi istilah, fizikal mahupun rohaniah. Dari segi istilah perkataan ‘Sendeng’ terdiri dari dua sukukata yang dicantumkan iaitu ‘SEN dan ‘DENG’.

SEN ‘ – singkatan dari perkataan ‘ Senggam ‘ bermaksud kedudukan yang kukuh, kuat dan rapi.

DENG ‘ – (atau ‘ DING ‘ ) berasal dari perkataan ‘ Dinding ‘ iaitu tempat bertahan, tembok atau tempat perlindungan. Di sudut fizikal pula, kedudukan secara menyendeng ketika menunggu serangan dapat menyelamatkan tujuh bahagian anggota yang merbahaya (muka, halkum, dada, sudu hati, rusuk , perut dan kemaluan.Di mana setiap bahagian sasaran utama yang menguntungkan lawan telah dikawal rapi. Dengan cara ini juga akan memudahkan pesilat untuk menggorak langkah sama ada maju ke hadapan, mengundur dan membuat buangan atau menepis.

Manakala dari segi rohaniah kedudukan menyendeng dikatakan selamat dari ancaman ‘permainan jauh ‘ dan seandainya kena hanya sipi dan tidak tepat kerana ternyata tempat yang hendak di ‘tujui’ nya (seperti jantung, ulu hati dan kemaluan) telah terlindung oleh bahu malah tidak dapat ditembusi kerana digalang oleh rahsia ‘ Lam Alif ‘ yang terjadi pada bentuk badan bila berkeadaan mengiring. Lagipun turun naik nafas yang menjadi panduan utama keberkesanan ‘ permainan jauh’ itu sukar untuk dikesan.

Oleh yang demikian itu kedudukan ‘Sendeng ‘ merupakan salah satu cara unutk melepaskan, mematikan, membuang dan menepis sebarang bentuk ‘musibah’ yang menghampirinya kerana falsafah sendeng ada menyatakan “capai sebelum sampai dan bunuh sebelum hidup”.

 

Falsafah & Konsep Seni Silat Sendeng

Mendahului serangan

Pada masa dahulu pembelajaran Seni Silat Sendeng lebih menumpukan kepada aspek seni beladiri ataupun lebih dikenali sebagai “pukul”. Berdasarkan prinsip, menyerang adalah sebaik-baik belaan, latihan-latihan Seni Silat Sendeng pada ketika itu lebih menjurus kepada memahirkan teknik-teknik mendahului serangan musuh. Prinsip ini diterjemahkan di dalam bentuk teknik beladiri yang 99 peratus menyerang dan 1 peratus menunggu.

Dalam ertikata lain, pesilat sendeng amat jarang menunggu serangan sebaliknya memintas serangan musuh berdasarkan isyarat yang dipamerkan oleh musuh yang bersedia untuk menyerang.

Isyarat ini juga disimpulkan di dalam falsafah yang berbunyi “Dalam terang ada cahaya, dalam kilat ada kilau, dalam seni ada halus, dalam silat ada silau,dalam gayang ada gerak, dalam gerak ada bayang.”

Pesilat Sendeng akan dapat mendahului serangan setelah ‘masak gerak’ iaitu kemahiran untuk mengenal punca punca gerak ataupun ibu gerak samada pergerakan tangan, kaki ataupun mana-mana bahagian tubuh. Secara khusus, pergerakan halus dikenali sebagai gerak manakala pergerakan kasar pula dikenali sebagai gayang.

Bagi membolehkan pesilat sendeng mendahului serangan lawan, beliau perlu memahami konsep ibu pukul serta menguasai teknik memati gerak dan memati pukul. Konsep mendahului serangan diterangkan melalui falsafah yang berbunyi “Gerak engkau gerak aku, mula engkau aku tiba, langkah engkau gayang aku, serangan kau makanan aku.” Ini bermakna lagi pantas musuh menyerang lagi pantas kita serang.

Dalam keadaan musuh menyerang dengan pantas kita matikan serangannya. Sebab itulah walaupun pada dasarnya pihak lawan cuba menyerang dahulu tetapi pergerakan lawan itu dapat dipintas dan akhirnya pesilat Sendeng yang memukul.

Selain daripada itu, pesilat Sendeng juga perlu mempunyai keberanian dan dapat mengunakan akal yang waras semasa menghadapi sesuatu serangan. Saat menghadapi musuh ini disimpulkan didalam falsafah yang berbunyi ‘Gerak, gayang, pantas, berani, berakal’. Gerak dan gayang pada musuh tapi pantas, berani dan berakal pada kita.

Konsep mendahului serangan bertujuan untuk menghapuskan punca ancaman seperti yang ditekankan di dalam falsafah Sendeng yang berbunyi “Yang memukul itulah di pukul, yang menyerang itulah yang diserang, yang menyakitkan itulah yang disakitkan.”

Akhirnya, seorang pesilat Sendeng yang telah benar-benar mahir dan memahami konsep mendahului serangan akan mencapai tahap dimana “Penamat belajar mengelak, tak payah mengelak, penamat belajar menepis, tak payah menepis” dan “Capai sebelum sampai dan bunuh sebelum hidup.”

Pergerakan Relatif

Sendeng dalam erti kata lain juga bermaksud ialah sandar. Pukulan Sendeng yang dilakukan secara lazimnya menyandar atau menumpang kepada kekuatan, kelajuan, kemarahan dan kemaraan pihak lawan.

Falsafah Sendeng berbunyi ‘cepat datang cepat pula jatuh, besar yang datang besar perginya’. Falsafah ini mengariskan konsep di dalam Seni Silat Sendeng di mana pesilat membela diri secara relatif dengan menggunakan kekuatan dan kepantasan pihak lawan.

Terdapat juga falsafah Sendeng yang berbunyi “Kalau dia datang sekati kita beri dia dua kati. Dia datang sepikul, jatuh dua pikul, kita sepikul dia sepikul.”

Pergerakan yang hidup

Di dalam Seni Silat Sendeng setiap teknik pergerakan adalah hidup seperti falsafah yang berbunyi ‘tangan itu yang menumbuk dan tangan itu juga yang menepis’. Setiap serangan yang dimulakan ia akan berlapis-lapis sebab pesilat sendeng dilatih melakukan dua kerja serentak.

Falsafah Sendeng menekan pergerakan yang hidup “Ada datang ada pergi, ada hidup ada mati, ada sakit ada ubatnya, ada tumbuk ada penepisnya, ada tangkap ada pelepasnya dan ada kunci ada pembukanya.”

Praktikal

Teknik beladiri di dalam Seni Silat Sendeng lebih menekankan kepada cirri-ciri praktikal dan keberkesanan. Ini digambarkan oleh falsafah yang berbunyi “Sendeng itu permainannya buruk tetapi kenanya bonyok. Pukulnya hodoh, kena lodoh.” dan “Pukul sendeng datangnya tak tegak tetapi kenanya tepat.”

Haram di sentuh

Sendeng juga mengamalkan falsafah ‘haram di sentuh’. Haram bukan dari segi agama tetapi haram yang dimaksudkan ialah tidak dibenarkan sama sekali pukulan sendeng disentuh atau ditangkap. Bagi Seni Silat Sendeng pukulan lebih pantas dari kunci kerana pukul sendeng bukan pukul bermalam dan diterangkan di dalam falsafah berbunyi “Belum sempat nak tangkap dah terlepas, sorong kena tarikpun kena.”

Sesuai dengan peredaran masa dan undang-undang, kaedah pembelajaran Seni Silat Sendeng kini telah dirombak dan disusun semula. Berdasarkan konsep, teknik dan adab aliran kuntau, sendeng dan pukul 7 hari, Seni Silat Sendeng kini telah diadun menjadi satu sistem seni beladiri yang berkesan, praktikal, selamat, menjimatkan masa dan pergerakan, disamping menekankan aspek kecergasan fizikal dan mental serta memupuk sikap-sikap positif seperti displin diri, sabar, berlapang dada dan bersungguh-sungguh di dalam setiap pekerjaan.

 

Adab dan Tatacara

Silat dalam ertikata yang luas tidak sahaja terhad kepada seni beladiri semata-mata malahan mengandungi cirri-ciri warisan budaya yang telah diwarisi turun-temurun oleh masyarakat Melayu sejak beratus tahun yang lalu.

Disini dipaparkan sebahagian dari tatacara dan warisan tersebut yang menyentuh adab belajar, rukun perguruan, tatacara berpakaian dan peralatan gendang silat.

Adab Belajar

Sebagai salah satu daripada warisan budaya Melayu yang berlandaskan syariat Islam, Seni Silat Sendeng amat menekankan adab-adab yang seharusnya diamalkan semasa mempelajari dan mempraktikan Seni Silat Sendeng. Adab belajar disimpulkan oleh Haji Abdul Hamid melalui kata-kata berikut:-

Kalau menuntut hendakkan berkat, biarlah timba mencari perigi bukannya perigi mencari timba. Kerana setinggi manapun ilmunya tetapi tiada berkat, ibarat keris yang tidak berbisa,kalau kena pun tidak memberi mudarat.

Orang yang berakal itu akan berfikir ketika diam dan orang yang berfikir itu akan ingat sampai bila-bila.

Belajar dengan tidak berfikir adalah bahaya dan berfikir tanpa belajar akan kecundanglah kita.”

Biar pahit di gelanggang tetapi manis di luar gelanggang.”

 

Rukun Perguruan

Rukun atau dasar asas di dalam Seni Silat Sendeng Malaysia ialah:-

  • Mentaati perintah Allah dan rasul, anjuran dan suruhan Nya serta menghindari segenap larangan dan cegahan serta yang dicela Nya.
  • Menyantuni kedua Ibubapa, Guru-guru, Jurulatih (lama dan baru), keluarga tua, sebaya dan muda serta rakan seperguruan.
  • Memelihara maruah dan kehormatan Seni Silat Sendeng Malaysia dan kerukunan hidup kekeluargaan dan kemasyarakatan.
  • Menjauhi sifat-sifat takbur, ujub, riak, hasad sesama insan dan menghindari dari pertelagahan sesame seperguruan dan berlawan dengan orang lain, melainkan dalam keadaan terdesak dan tercabar.
  • Menghormati budaya Silat Melayu yang lain serta seni bela diri bangsa asing.

Permainan Gendang Silat

Penggunaan bunti-bunyian atau muzik (gendang) memang wujud sejak dahulu lagi. Muzik digunakan untuk mengiringi latihan, persembahan serta majlis adat istiadat.

Di dalam Seni Silat Sendeng, kumpulan muziknya terdiri dari empat orang iaitu dua orang daripadanya memukul gendang (gendang ibu dan gendang anak), seorang meniup serunai dan seorang lagi memalu gong. Terdapat tiga irama atau rentak asas yang dimainkan semasa mengiringi persembahan seni silat sendeng iaitu :-

  1. Gendang Rentak Inai
  2. Gendang Rentak Pahlawan
  3. Gendang Rentak Sendayung

 

 

 

 

 

14 responses to “SILAT SENDENG MALAYSIA

  1. Assalammualaikum semua…sy sgt berminat dalam bidang persilatan ni…tp mcmne nak cari tmpat belajar area batu pahat?mohon bertanya..

  2. assalamualaikum, sy pelajar tahun akhir UiTM shah Alam. Saya berkeinginan untuk membuat kajian mengenai silat sendeng ini. sedikit kajian yg sy tlh jalankan slama ini membuatkn sy rsa trtarik untuk memahaminya dgn lbh mendalam. Saya telah memilih tajuk silat sendeng ini untuk projek penulisan ilmiah (thesis) pada semester akhir saya pda thun ini. kalau boleh, saya nk menemu ramah siapa2 sahaja yg sudi mengenai silat sendeng ini. Saya harap ada yang sudi membantu.

    blh hubungi saya kpd sesiapa yg sudi😀

    FB
    narutimatix@yahoo.com

    email
    abdulhannanishak@yahoo.com

    • terima kasih kunjungan saudara ke blog saya..
      Untuk pertanyaan saudara itu tidaklah dapat saya menjawabnya. saya pernah cuba mencari alamat-alamat setiap perguruan silat yang berdaftar. namun masih belum dijumpai. mungkin saudara boleh cuba mencarinya di PESAKA.

  3. 1 persolan timbul…kenapa silat ni orang kata ada ikut2 perkara khurafat lah,ada yg kata pula bertentangan dengan aqidah dan berbagai lagi sedangkan sama sahaja dengan seni mempertahankan diri dari barat seperti taekwando,karate…ada gak gaya2 yang kita x tahu asal usulnya..apa maksunya.Tapi tidak pula menjadi persoalan dan kenapa orang melayu tidak mempertahankan seni bela diri mereka.Dimana kekuatan pegangan orang2 melayu sebenarnya…adakah silat ini kurang “power”..

    • tidak dinafikan ada silat yang mengamalkan perkara yang khurafat, dan dah terdapat beberapa aliran silat yang dah dilabelkan sesat dan menyimpang dari ajaran Islam oleh JAKIM. tapi kebanyakan silat tersebut bukanlah silat yang berdaftar secara rasmi dengan Pertubuhan yang sah.
      jadi bila ada yang mengaku silat tapi membawa perkara yang bertentangan dengan Islam, maka kesemua Silat telah menimbulkan persepsi yang negatif di kalangan masyarakat. ini kerana ketidakfahaman mengenai silat itu sendiri. mengapa dipilih yang khurafat? sedangkan yang bersih dari amalan tersebut masih banyak lagi.
      kita mudah melihat kekhurafatan dan kepesongan akidah dalam aliran silat kita, tetapi kebanyakan kita tidak sedar bahawa aliran beladiri luar lebih hebat lagi kepesongannya menurut ajaran Islam Kita. kebanyakan Seni bela Diri luar berpegang kuat pada konsep Falsafah yang kuat berpandu pada akal semata-mata.
      sebagai contoh salah satu aliran beladiri luar yang terkemuka di negara kita (nama dirahsiakan), yang mana pada sembah hormatnya adalah dari budaya negara asal seni tersebut, iaitu MENYEMBAH MATAHARI.!!. jadi bila menyertai aliran tersebut, maka secara automatiknya kita juga meniru ‘ritual’ tersebut. fikirkan kembali.
      hadis nabi ada menyebut ; ‘barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia adalah dari golongan tersebut‘.
      orang kita tidak mempertahankan senibeladiri sendiri, adalah kerana tidak faham secara sebenarnya. sebab negara kita selamat, polis sekeliling ramai, dan otak orang melayu kita selalu beranggapan bahawa bila dah terhantuk baru nak mengadah. mungkin pada masa dah terhantuk segalanya dah terlambat.
      silat bukan kurang power.!! semua beladiri ada kehebatannya masing-masing. cuma yang hebat / tak hebat adalah pada pengamalnya. kalau Silat tak hebat, mana datang cerita kepahlawanan melayu dahulu kala menentang penjajah?? cerita kepahlawanan silat melayu bukan cerita dari kita saja, malahan ada sokongan dari kajian luar. kita tak syok sendiri.
      kalau silat tak power, mana datangnya cerita tersohor dua benua mengenai “pertempuran” antara Allahyarham Datuk Meor Rahman dan Mendiang Bruce Lee?🙂

      • Pertempuran antara Allahyarham Datuk Meor Rahman dan Mendiang Bruce Lee…dan beberapa orang lagi pahlawan melayu….
        Bukankah ketika itu ekonomi tanah melayu begitu mundur.Bangsa melayu x de senjata dan peralatan canggih-canggih pun ketika itu untuk menentang penjajah.Kemampuan masyarakat melayu mempertahankan diri ketika itu hanya dengan itu je..time tu juga lah anak-anak muda pada zaman tersebut di ajar untuk pertahankan diri….

      • sejarah silat xdapat dinyatakan secara tepat bila tarikh kewujudannya yang sebenar. kerana telah wujud sejak mula manusia mencatat sejarah. silat melayu tidak menunjukkan ‘taring’ kerana disembunyikan dalam seni yang halus. ibarat duri dicelah kelopak bunga..

      • bangsa melayu sbnrnya sejak dulu lagi sdah pun mempunyai senjata2 canggih spt meriam dan lain2.. tp senjata2 ini telah di gelapkan dr sejarah oleh sejarahwan barat..

    • silat byk yg power, slh satu kat malaysia ras sendeng ni agak power..arwah cikgu gua pnh lwn dgn negro..leh menang perlawanan tu..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s