KERIS


KERIS SINGGOBARONG

Keris ialah sejenis senjata pendek kebangsaan Melayu yang digunakan sejak melebihi 600 tahun dahulu. Senjata ini memang unik di dunia Melayu dan boleh didapati di kawasan berpenduduk Melayu seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand Selatan, Filipina Selatan(Mindanao), dan Brunei.

Nama yang digunakan untuk keris berbeza mengikut daerah misalnya sundang di Mindanao, kedutan di Bali, kujang di Jawa Barat, dan kareh di Sumatera. Perkataan keris dikatakan berasal dari bahasa Jawa Kuno iaitu malang kerik yang bermaksud bercekak pinggang. Ini merujuk kepada figura orang bercekak pinggang pada hulu keris pada peringkat awal.

Keris digunakan untuk mempertahankan diri (misalnya sewaktu bersilat) dan sebagai alat kebesaran diraja. Senjata ini juga merupakan lambang kedaulatan orang Melayu. Keris yang paling masyhur ialah keris Taming Sari yang merupakan senjata Hang Tuah, seorang pahlawan Melayu yang terkenal.

Keris berasal dari Kepulauan Jawa dan keris purba telah digunakan antara abad ke-9 dan abad ke-14. Senjata ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu mata, hulu dan sarung. Keris sering dikaitkan dengan kuasa mistik oleh orang Melayu pada zaman dahulu. Antara lain, terdapat kepercayaan bahawa keris mempunyai semangatnya yang tersendiri.

Keris menurut amalan Melayu tradisional perlu dijaga dengan cara diperasapkan pada masa-masa tertentu, malam Jumaat misalnya. Ada juga amalan mengasamlimaukan keris sebagai cara untuk menjaga logam keris dan juga untuk menambah bisanya.

Secara umumnya, keris boleh dikategorikan kepada:

  1. Keris Semenanjung

  2. Keris Bugis

  3. Keris Jawa

  4. Keris Sumatera

  5. Keris Madura

  6. Keris Patani

  7. Keris Bali

  8. Keris Sajen

  9. Keris Picit


Sang Guna adalah orang pertama dizaman Sultan Muhammad Syah Melaka telah membuat keris tempa panjang, berukuran tiga jengkal. Unsur logam campuran besi dan tahi bintang adalah bahan utama membuat keris tersebut.

Hulu Keris

Hulu keris berukuran sepanjang lebih kurang 15sm. berkeadaan membengkok dibahagian tengahnya seperti bentuk kepala tongkat. Diukir dengan tangan sepenuhnya dan mempunyai nilai estetika Melayu yang diperbuat daripada perdu atau tunjang kayu (kemuning, tegor, tempinis, sena,celagi, petai belalang, boai, lebang dan kayu hitam), gading gajah, tanduk, gigi ikan paus, emas, perak, besi dan kemor (sejenis batu karang).

Pelbagai nama telah diberikan seperti Anak Ayam Teleng, Anak Ayam Sejuk, Jawa Demam, Kakaktua, Tapak Kuda dan Pekaka. Penjelmaan rekabentuknya menggambarkan kekuatan dan kekuasaan senjata tersebut yang bersifat raksaksa dan garuda. Ragamhias hulu keris kebanyakannya bermotifkan bunga timbul, awan larat, bunga tebuk, ketam guri, bentuk fauna dan juga bentuk dewa Hindu dengan imbasan wajah manusia.

Pendongkok

Dikenali juga sebagai dokok, pendongkok, dulang-dulang keris atau memendak. Diperbuat dari logam, tembaga, perak atau emas. Berbentuk seperti bunga dan berukiran bunga dawai pintal yang bertatahkan batu permata atau ukiran biasa sahaja. Pendongkok dipasangkan melekap pada pangkal hulu keris dibahagian permukaan ganja.

Bilah Keris

Keris mempunyai berbagai-bagai bentuk dan ukuran. Kebanyakan keris terdiri dari jenis yang berlok, samada tiga, lima, tujuh atau sembilan dan lurus. Terdapat juga keris yang panjang berukuran 61sm. dengan matanya berbentuk mata pedang seperti Keris Sundang dan ada yang sehingga 29 lok. Tiga aspek penting mata keris adalah rupa awan larat dan corak pamor, bentuknya dan corak berombak yang wujud dari campuran logam dan nikel.

Keris juga diibaratkan sebagai insan, sesetengah Empu atau pembuat keris memasukkan unsur magis atau penunggu kepada senjata itu, supaya ianya lebih memberikan kekuasaan.

Sampir dan Batang

Sampir adalah sarung dibahagian ganja dan aring keris. Berbentuk seperti sampan melintang pada kedudukan keris. Diperbuat dari jenis kayu sama seperti hulu keris juga dan sesetengah sampir diukir pada kayunya atau disaluti emas, perak atau tidak diukir langsung, hanya corak urat kayu tersebut telah menampakkan keindahannya.

Batang merupakan sarung kepada bilah keris ia lurus serta agak meruncing sedikit pada hujungnya. Diperbuat daripada kayu dan diukir dengan ukiran bermotifkan flora, tetapi terdapat juga yang tidak diukir. Kebiasaannya pada hujung batang ini akan disarungkan dengan buntut yang diperbuat dari perak, emas, tanduk atau gading.

SUMBER : WIKIPEDIA & WARISAN BUDAYA MALAYSIA

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s