REZEKI GAGAK


 

Pada suatu ketika dahulu terdapat seorang pemuda yang gemar menuntut ilmu. Beliau sentiasa dahagakan ilmu. Beliau beranggapan bahawa jika seseorang itu berilmu, maka dia akan dipandang mulia oleh masyarakat dan rezekinya terjamin.

Setelah mendapat keizinan daripada ibunya, maka pemuda tersebut keluarlah dari kampung halamannya merantau ke seluruh ceruk rantau untuk mencari guru menimba ilmu. Bertahun-tahun beliau merantau, berbagai guru telah ditemuinya, berbagai ilmu telah dia pelajari, tidak kurang juga pelbagai ragam manusia yang dapat dia perhatikan. Beliau yakin, pengalaman hidup merupakan guru terbaik.

Pada suatu hari, guru pemuda itu yang terakhir, menyatakan pada pemuda itu bahawa ilmu yang diperturunkan padanya telah tamat. Pemuda tersebut dibenarkan untuk pulang ke kampungnya dan menabur bakti dan  ilmu kepada masyarakat sekitarnya.

Setelah mengucapkan ribuan terima kasih kepada gurunya, pemuda tersebut melangkahkan kaki meninggalkan gurunya itu. Namun apabila sampai di penghujung kampung itu, hujan lebat turun mencurah-curah. Pemuda tersebut bergegas mencari tempat perteduhan. Akhirnya diketemukannya sebuah pondok buruk tidak berpenghuni. Lalu dijadikannya tempat teduh sementara.

Di dalam pondok itu tidak terdapat sebarang perkakas atau peralatan. Cuma terdapat sebuah sarang burung yang di dalamnya dihuni oleh seekor burung gagak. Apabila hujan berhenti, seekor burung yang lain secara tiba-tiba masuk ke dalam pondok itu dan memberi burung yang di dalam sarang itu makanan. Kemudian burung itu terbang semula ke hutan.

Pemuda tersebut berasa tertarik dengan apa yang dilihatnya sebentar tadi. Lalu pemuda itu bercadang untuk tinggal semalam lagi untuk melihat apa yang bakal berlaku seterusnya.

Seperti yang dijangkakan, burung yang di luar itu tetap datang ke pondok itu dan memberi burung yang tinggal di dalam sarang itu makanan.

Pemuda itu berasa hairan dan tertarik, mengapa burung itu begitu menjaga burung yang di dalam sarang itu dengan memberinya makan?

Pemuda itu lalu merapati sarang burung itu dan tahulah dia bahawa di dalam sarang itu adalah seekor burung gagak yang BUTA.!!

Melihatkan pada peristiwa itu, timbullah pada pemikirannya, ‘sedangkan burung yang buta itu dijamin Allah akan rezekinya, inikan pula aku sebagai manusia yang taat kepada-Nya’.

Lalu pemuda itu mengambil keputusan untuk tinggal di pondok tersebut dan meneruskan kehidupannya di situ.

Setelah beberapa ketika pemuda itu tinggal di pondok tersebut, maka orang kampung sekitarnya mula menyedari akan kewujudan pemuda itu di situ. Orang kampung mula menziarahi pondok itu, kebanyakan mereka datang membawa buah tangan untuk pemuda tersebut.

Orang kampung itu beranggapan bahawa pemuda itu adalah ‘waris’ kepada pemilik asal pondok tersebut. Pemilik asal pondok itu sangat dihormati oleh penduduk sekitar dan kawasan kampung yang lain, namun sejarah itu tidak diketahui oleh pemuda tersebut.

Lantaran kerana menghormati ‘waris’ tokoh itu, orang kampung melayan pemuda itu dengan cukup baik, cukup sempurna. Setiap hari ada sahaja buah tangan orang kampung yang sampai kepadanya. Pemuda tersebut yakin, inilah rezeki yang ditentukan Allah untuknya.

Di takdirkan Allah, guru pemuda itu mendengar khabar dari orang-orang kampung mengenai pemuda tersebut. Hasil penjelasan orang kampung, guru itu dapat mengagak bahawa pemuda tersebut adalah anak muridnya dahulu. Tetapi beliau hairan, mengapa pemuda itu masih berada di sini. Lalu guru tua itu membuat keputusan untuk pergi ke pondok hujung kampung itu untuk mendapatkan kepastian.

Setelah sampai guru tua itu di hadapan pondok itu, ucapan Salam disampaikan. Lalu segera di sambut ucapan salam itu oleh pemuda tersebut. Memang benar sangkaan guru tua itu, orang yang diceritakan oleh penduduk kampung itu adalah anak muridnya dahulu.

Pemuda itu mempersilakan gurunya itu masuk ke pondok dan mereka berbual mesra. Semasa berbual, gurunya itu bertanya:

Mengapakah engkau masih berada di sini? Sedangkan engkau sudah ku pinta pulang menabur bakti di kampung mu..’, Tanya guru itu.

Lalu dijawab pemuda tersebut ;

benar.. tetapi semasa aku hendak keluar dari kampung ini…’ pemuda itu menceritakan ke semua apa yang telah dilihatnya kepada gurunya itu. Pemuda itu berkeyakinan bahawa rezekinya telah ditentukan Allah di pondok buruk itu.

Guru tua itu menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. Lalu guru tua itu bertanya kepada pemuda tersebut.

tahukah kamu siapa pemilik asal pondok yang kamu diami sekarang?’.

Pemuda itu menggelengkan kepala tanda tidak mengetahui. Lalu guru tua itu mengatakan kepada pemuda tersebut bahawa pondok kecil itu adalah asal milik seorang ulama besar pada suatu ketika dahulu. Darinya terlahir ratusan pelajar dan puluhan ulama yang kini sedang menyambung menyampaikan ajaran Islam yang suci. Guru tua itu memberitahu kepada pemuda itu, bahawa dia adalah salah seorang daripada anak murid Ulama besar itu.

Pemuda itu terkejut dan berasa kagum dengan apa yang baru disampaikan oleh gurunya itu.

Guru tua itu bertanya kepada  pemuda itu;

kamu ingin menjadi seperti ulama itu atau seperti pondoknya?’..

Pemuda itu tidak menjawab, hanya terkebil-kebil memikirkan apa yang cuba disampaikan oleh gurunya itu.

Gurunya menambah, ‘sekiranya kamu ingin menjadi seperti pondok ini, maka suatu hari nanti kamu runtuh dan kamu akan dilupakan orang.. tetapi sekiranya kamu menjadi seperti pemiliknya, kamu akan terus hidup sepanjang generasi walaupun kamu telah hancur dimakan bumi’.

Guru tua itu bertanya lagi kepada pemuda itu;

kamu mahu jadi burung yang buta, atau burung yang celik itu?’.. sambil tersenyum.

Pemuda itu sungguh terkejut dengan kata-kata gurunya itu.. kata-kata itu seolah-olah telah mengejutkannya dari mimpi yang amat dahsyat.

Pemuda itu telah tersedar, lalu menangis di hadapan gurunya menyesali pilihannya.

Bagaimana pula kita?

21 responses to “REZEKI GAGAK

  1. Pingback: 2010 in review « Halimlading21's Blog

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s